
Mengenai Kami
Pusat Pengajian Pintar Soleh Nur Ulfah atau singkatannya PPPSNU merupakan pusat pendidikan dan pengajaran yang berlandaskan sistem Islam (Tarbiah dan Taklim) bertujuan membantu ibu bapa dan masyarakat dalam mendidik, mengasuh dan membimbing anak-anak dengan cara hidup Islam agar mereka dapat mengagungkan Allah di dalam kehidupan juga menjadikan akhirat sebagai matlamat utama mereka (Islam is the way of life). Sepertimana yang kita ketahui, Awaluddin Ma'rifatullah yang membawa erti awal-awal agama adalah mengenal Allah.
PPPSNU ini telah beroperasi sejak tahun 2014 di Taman Sri tanjung dengan menggunakan nama Tadika Tahfiz Cilik Pintar Soleh Nur Ulfah sebagai produk di bawah PPPSNU dengan nombor pendaftaran NS0097794-P. Fokus utama Tadika Tahfiz Cilik adalah memberi perkhidmatan kepada masyarakat dalam bidang pendidikan pada peringkat umur 4 hingga 6 tahun.
Selain itu, PPPSNU juga turut menyediakan platform ini untuk ibu bapa yang ingin mendalami bacaan al Quran dan pengajian Islam yang lain. Disamping itu dapat membantu anak-anak mereka untuk lebih cintakan Allah dan Rasul-Nya sedari kecil. Pendidikan di peringkat ini dikelaskan sebagai awal pra sekolah dan didaftarkan atas nama Taska Nur Ulfah.
Bagi memenuhi permintaan masyarakat, PPPSNU telah membuka sebuah lagi cawangan di Semenyih Sentral bagi sesi pengajian dan pembelajaran pada tahap sekolah rendah yang dikenali sebagai Madrasah Tahfiz Nur Ulfah. Di peringkat ini anak-anak didik diperkasakan lagi dengan ilmu dan penghayatan Islam yang lebih mendalam disamping pendekatan serta pendedahan kepada kemahiran hidup.
Produk pendidikan yang diketengahkan oleh PPPSNU tidak bertujuan untuk meraih keuntungan semata-mata, akan tetapi membuka peluang kepada anak-anak terutama bagi keluarga mereka yang kurang berkemampuan. Pendekatan ini mampu memberi manfaat kepada mereka untuk bersama-sama mendalami ilmu agama dan kemahiran hidup. Selain itu, dapat meningkatkan kehidupan mereka yang lebih baik serta bermanfaat untuk keluarga dan masyarakat.
Yang lebih penting PPPSNU berusaha menanamkan Rasa Bertuhan dan Rasa Kehambaan ke dalam diri anak didik serta berusaha menyemaikan sifat-sifat kekhalifahannya mudah-mudahan mereka mampu mentadbir keluarga, masyarakat dan negara (dunia) mengikut sistem Islam. Dengan kata lain, PPPSNU ingin melahirkan generasi pintar dan soleh yang bertaqwa (Generasi Salafussoleh).
